Wednesday, January 31, 2007

Pengenalan Remaja

Pengenalan Remaja

Remaja adalah suatu zaman peralihan dalam proses perkembangan manusia di antara baligh dan dewasa. Zaman remaja merupakan zaman transformasi ke arah perkembangan untuk mencapai alam dewasa. Perubahan-perubahan radikal dalam tempoh ini membuatkan kehidupan remaja penuh dengan kekacauan, keributan dan tekanan. Remaja merupakan satu peringkat menandakan akal baligh atau cukup umur dengan kedatangan haid bagi perempuan dan alat kelamin lazimnya mula mengeluarkan benih dan berakhir dengan penyempurnaan tumbesar tulang rangka. Melihat dari perspektif ini, remaja boleh didefinisikan sebagai satu peringkat perkembangan fizikal.
Kamus Dewan mendefinisikan remaja sebagai mulai dewasa, sudah akal baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Gadis remaja pula adalah satu tahap yang sudah mulai dewasa (mulai timbul rasa cinta berahi). Putera Remaja juga mempunyai pengertian yang sama dengan gadis remaja. Masa remaja dikanotasikan sebagai masa yang mulai timbul rasa cinta berahi. Menurut Brown (1965) semasa remajalah individu mula memahami tentang hal-hal yang abstrak dan dari segi perkembangan mereka telah berupaya untuk mencari beberapa pilihan untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi. Kandel Lesser (1972) Zaman remaja adalah satu zaman yang diukur dengan pelbagai perubahan biologi, akal baligh, seksualiti dan perkembangan hormon. Konopka (1973) mendefinisikan remaja sebagai satu segmen yang penting dalam proses perkembangan individu yang dibahagikan kepada tiga tahap iaitu remaja awal 12 -15 tahun, remaja pertengahan 15 -18 tahun dan remaja akhir 19 - 22 tahun. Secara umumnya remaja diklasifikasikan sebagai waktu akal baligh yang melibatkan kematangan seksualiti dengan kebolehan untuk melahirkan anak dan perubahan yang ketara dari aspek fizikal. Guy. R. Lefrancois (1993) remaja adalah masa transaksi antara alam kanak-kanak dan dewasa awal. Satu tahap dimana tercapainya kematangan dari sudut seksualiti tetapi tidak lagi berperanan dan dibebani dengan tanggungjawab sebagaimana orang dewasa.
Ciri-ciri yang ketara dan biasa dalam perkembangan remaja ialah perubahan bentuk badan, perkembangan yang cepat pada alat seks, perkembangan pengaliran hormon yang berkaitan dengan perkembangan alat seks dan perkembangan pada ciri-ciri seks sekunder. Perkembangan ini bukan sahaja dari segi perubahan bentuk badan tetapi juga adaptasi terhadap kebolehan intelek yang berubah, penyesuaian terhadap kehendak masyarakat mengenai tahap tingkahlaku dan persediaan ke arah peranan menjadi orang dewasa.
Walau bagaimanapun kematangan fizikal dan seksual adalah bahagian yang mustahak dalam peralihan remaja ke status dewasa dan ke arah memikul tanggungjawab . Perubahan yang cepat hendaklah dilihat bersama dengan perubahan-perubahan yang kurang ketara tetapi penting seperti kebolehan intelek dan ekspektasi ibu bapa dan masyarakat terhadap remaja yang menjadi dewasa. Remaja juga satu tahap perkembangan potensi kendiri di mana seseorang menentukan keindividuan dan identitinya dan harga diri kerana setiap remaja adalah individu yang unik. Kata-kata Oscar Wilde menjelaskan segalanya " Orang tua percaya semua perkara, orang dewasa mencurigai semua perkara dan remaja tahu semua perkara".