Monday, February 12, 2007

Falsafah Kejadian Manusia

Falsafah Kejadian Manusia

Manusia secara fitrahnya merupakan ciptaan Allah yang paling indah, unik dan paling sempurna berbanding dengan ciptaan-ciptaan yang lain. Keindahan ini terserlah meliputi struktur fizikal yang seimbang, dilengkapi roh Ilahi serta dibekalkan dengan akal fikiran, tenaga dan kekuatan. Namun sejauh mana manusia memahami dan mengerti berkaitan proses kejadian yang unik dan mengkagumkan di sebalik penciptaan tersebut serta menginsafi matlamat dan gagasan penciptaannya. Sehubungan itu, setiap manusia digesa memerhati dan meneliti kejadian dirinya serta alam keseluruhannya.
Manusia dapat diertikan berbeza-beza menurut biologi, rohani, dan istilah kebudayaan, atau secara campuran (wikipedia). Secara biologi, manusia dikelaskan sebagai Homo sapiens (Bahasa Latin untuk manusia bijak), sebuah spesies primat dari golongan mamalia yang dilengkapi otak berkemampuan tinggi. Dalam hal kerohanian, manusia dijelaskan menggunakan konsep jiwa yang bervariasi di mana, dalam agama, dikaitkan dalam hubungannya dengan kekuatan ketuhanan atau makhluk hidup; dalam mitos, manusia juga seringkali dibandingkan dengan bangsa lain. Dalam antropologi kebudayaan, manusia dijelaskan berdasarkan penggunaan bahasanya, organisasi mereka dalam masyarakat majmuk serta perkembangan teknologinya, dan terutama berdasarkan kemampuannya untuk membentuk kelompok dan lembaga untuk dokongan satu sama lain serta pertolongan.

Lelaki ialah salah satu daripada dua jantina manusia, iaitu lelaki dan perempuan. Penggunaan istilah "lelaki" dalam bahasa Melayu adalah khusus untuk manusia; bagi haiwan, jantinanya dirujuk sebagai jantan.

Perempuan ialah salah satu daripada dua jantina bagi manusia; iaitu lelaki dan perempuan. Penggunaan perkataan "perempuan" dalam bahasa Melayu adalah khusus untuk manusia; bagi haiwan, jantinanya dirujuk sebagai betina.

Sebagai mendekati dan memahami proses kejadian manusia , Allah s.w.t telah menempatkan sejumlah ayat dalam Al-Quran yang menggesa manusia memahami dan mengamati kejadian dirinya. Maklumat-maklumat mengenai proses kejadian dan perkembangan manusia turut dihuraikan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran. Setiap tahap perkembangan manusia yang bermula daripada penciptaa Adam a.s. dijelaskan secara jitu, lengkap dan teratur. Menerusi maklumat tersebut manusia mendapat gambaran menyeluruh mengenai asal-usul kejadian dan proses perkembangannya di alam rahim.
Penciptaan Adam diriwayatkan sebagai satu daripada ciptaan Allah yang paling kontroversi atau paling disebut-sebut oleh makhluk Allah yang lain. Peristiwa tersebut disebut dalam al-Qur'an apabila para malaikat mempersoalkan kejadian (manusia) sebagai khalifah atau pengganti di bumi.
"Ketika Allah berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (2: 30)

Ciptaan dari tanah


Allah telah memerintahkan Malaikat Jibril turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah sebagai bahan untuk menjadikan Adam. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil malah bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak rela untuk menyerahkannya kerana kebimbangannya seperti yang dibimbangkan oleh para malaikat.
Jibril kembali setelah mendengar sumpah tersebut lalu Allah mengutuskan pula Malaikat Mikail dan kemudiannya Malaikat Israfil tetapi kedua-duanya juga tidak berdaya hendak berbuat apa-apa akibat sumpah yang dibuat oleh bumi. Maka, Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk melakukan tugas tersebut dan menggesa agar tidak berundur walaupun bumi bersumpah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah dan nama Tuhan.
Maka, Izrail turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas perintah Allah dan memberi amaran kepada bumi untuk tidak membantah yang memungkinkan bumi menderhaka kepada Allah. Menurut Ibnu Abbas, tanah bumi dan syurga digunakan untuk dijadikan bahan mencipta Adam. Tanah tersebut adalah:

• Tanah Baitulmuqaddis - kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan otak
dan akal.
• Tanah Bukit Tursina (Mesir) - telinga sebagai tempat mendengar dan menerima
nasihat.
• Tanah Iraq - dahi sebagai tempat sujud kepada Allah.
• Tanah Aden (Yaman) - muka sebagai temat berhias dan kecantikan.
• Tanah telaga Al-Kautsar - mata sebagai tempat menarik perhatian.
• Tanah Al-Kautsar - gigi sebagai tempat memanis-manis.
• Tanah Kaabah(Makkah) - tangan kanan sebagai tempat mencari nafkah dan
bekerjasama.
• Tanah Paris (Perancis) - tangan kiri sebagai anggota untuk melakukan
istinjak.
• Tanah Khurasan (Iran) - perut sebagai tempat berlapar.
• Tanah Babylon (Iraq) - kelamin sebagai organ seks dan tempat bernafsu serta
godaan syaitan.
• Tanah Tursina (Mesir) - tulang sebagai peneguh manusia.
• Tanah India - kaki sebagai anggota berdiri dan berjalan.
• Tanah Firdaus (Syurga) - hati sebagai tempat keyakinan, keimanan, dan
kemahuan.
• Tanah Taif (Arab Saudi) - lidah sebagai tempat untuk mengucapkan syahadah,
syukur dan doa.


Penyempurnaan


Tubuh Adam mempunyai sembilan rongga atau liang. Tujuh liang di kepala dan dua di bawah badan iaitu dua mata, dua telinga, dua hidung, satu mulut, satu dubur dan satu uretra. Lima pancaindera dilengkapkan dengan anggota tertentu seperti mata untuk penglihatan, telinga untuk pendengaran, hidung untuk pengesanan bauan, lidah untuk perasa seperti masam, masin, manis dan pahit dan kulit untuk sentuhan bagi panas, sejuk, tekanan, kelikatan dan sakit.
Ketika Allah menjadikan tubuh Adam, tanah dicampurkan dengan air tawar, masin dan hanyir beserta api dan angin. Kemudian Allah resapkan Nur ke dalam tubuh Adan dengan pelbagai "sifat". Lalu tubuh Adam digenggam dengan genggaman Jabarut dan diletakkan di dalam Alam Malakut. Tanah itu dicampurkan lagi dengan istilah wangian dan ramuan dari Nur-Sifat Allah dan dirasmi dengan "Bahrul Uluhiyah". Kemudian, tubuh tersebut dibenam dalam "Kudral 'Izzah" iaitu sifat "Jalan dan Jammal" lalu disempurnakan tubuh tersebut.
Waktu kejadian manusia tidak disebut berapa lama walaupun melalui apa cara perhitungan sekalipun seperti dalam al-Quran: "Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut..." (76:1)
Menurut keterangan ulama, tubuh Adam diselubungi dalam tempoh 120 tahun, 40 tahun di tanah yang kering, 40 tahun di tanah yang basah dan 40 tahun di tanah yang hitam dan berbau. Dari situ, Allah ubah tubuh Adam dengan rupa kemuliaan dan tertutuplah dari rupa hakikatnya. Kerana proses kejadian itu yang melalui peringkat yang "kotor", tidak hairan Malaikat dan Iblis memandang rendah akan kejadian manusia yang dicipta dari tanah.

Kemasukan roh

Roh diperintah Allah untuk memasuki jasad Adam tetapi seperti makhluk lain, roh juga enggan, malas dan segan kerana jasad yang seperti batu. Dikatakan ruh berlegar-legar mengelilingi jasad Adam sambil disaksikan malaikat. Kemudian, Allah memerintahkan Malaikat Izrail memaksa ruh memassuki tubuh tersebut masuk ke dalam tubuh Adam. Ia memasukkannya ke dalam tubuh dan roh secara perlahan-lahan masuk hingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Setelah meresapi ke kepala Adam, maka berfungsilah otak dan tersusunlah urat saraf dengan sempurna. Lalu, terjadilah mata dan terus terbuka melihat tubuhnya yang masih keras dan malaikat di sekelilingnya. Telinga mulai berfungsi dan didengarnya kalimah tasbih para malaikat. Apabila roh tiba ke hidung, lalu ia bersin dan mulutnya juga terbuka. Allah mengajarkan kalimah "Alhamdulillah" yang merupakan kalimah pertama diucapkan Adam dan Allah sendiri yang membalasnya.
Kemudian, roh tiba ke dadanya lalu Adam berkeinginan untuk bangun padahal tubuhnya yang bawah masih keras membatu. Ketika itu ditunjukkan sifat manusia yang terburu-buru. Ketika roh sampai di perut, maka organ dalam dan perut tersusun sempurna dan saat itu Adam mula merasakan lapar. Akhirnya, roh meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan dan kaki dan berfungsilah dengan sempurna segala darah daging, tulang, urat saraf dan kulit. Menurut riwayat, kulit Adam amat baik ketika itu berbanding kulit manusia di kini dan warnanya masih dapat dilihat di kuku sebagai peringatan kepada keturunan manusia.
Dengan itu, sempurnalah sudah kejadian manusia pertama dan Adam digelar sebagai "Abul Basyar" iaitu Bapa Manusia. Walau bagaimanapun, hanya Nabi Muhammad s.a.w. mendapat gelaran "Abul Ruh" atau "Abul Arwah" iaitu Bapa segala Roh.
Kajian sains
Kajian sains telah menunjukkan bahawa unsur kimia pada tubuh manusia terdiri daripada unsur yang terdapat pada tanah. Nisbah unsur yang terdapat di dalam badan juga memberikan kesesuaian dalam sifat dan fungsi anggota setiap bahagian manusian. Antaranya unsur yang didapati adalah:
• Karbon
• Oksigen
• Hidrogen
• Fosforus
• Sulfur
• Azote
• Kalsium
• Kalium
• Natrium
• Klorat
• Ferum
• Manganese
• Kuprum
• Iodin
• Klorin
• Kobalt
• Zink
• Silikon
• Alumunium
• Molebdenum
• Boron
• Vanadium
• Selenium
• Kromium
• Magnesium

Menerusi akal dan peningkatan ilmu, para saintis berjaya meneliti dan menemui keajaiban mengenai kejadian dan perkembangan manusia di alam rahim.Pengkajian yang bertujuan mencari kebenaran sememangnya mempunyai keselarian dengan maklumat dari Al-Quran yang berupa mu'jizat Al-kubra. Justeru itu, walaupun fakta sains dan teknologi tidak mutlak dan terbatas kepada aspek fizikal namun ianya dapat memberi suatu intepretasi baru dalam memahami wahyu.

Gabungan maklumat daripada wahyu dan sains serta dibantu oleh alat teknologi yang canggih, manusia benar-benar dapat meneliti dan menyaksikan fenomena kejadian dirinya serta melihat keajaiban alam rahim. Penelitian tersebut membuatkan manusia tepersona dan takjub sehingga membangkitkan kesedaran terhadap kebesaran dan keagungan Allah s.w.t dan menginsafi kelemahan dan kekurangan manusia sebagai hamba Allah.

Teori Evolusi yang diperkenalkan oleh Charles Darwin telah diterapkan secara meluas dalam bentuk penulisan di pusat-pusat pengajian tinggi dan diajar sebagai pengajian ilmiah kepada penuntut-penuntut di negara-negara Islam, khususnya dalam bidang Antropologi, Sains Sosial, Ekologi Manusia, Psikologi, Biologi dan Falsafah Barat. Teori Evolusi manusia menyatakan bahawa manusia berasal daripada sejenis haiwan iaiitu mawas-manusia.Semua keturunan pula berasal daripada nenek moyang yang sama iaitu sel purba. Zat yang mati menjelma sebagai sesuatu yang hidup secara kebetulan. J. Huxley (1969) menyatakan pada masa lampau, manusia telah mewarisi peringkat berekor dalam evolusinya. Pandangan ini diutarakan berdasarkan persamaan antara embrio manusia dan embrio haiwan.Meskipun teori ini menurut Sayyed Hussien Nasr masih belum dapat diterima sebagai fakta saintifik namun penyebaran dan perkembangannya boleh menggugat akidah umat Islam.

Justeru manusia perlu mengamati dan mempelajari kejadian dirinya dengan berpandukan kepada wahyu dan sains ke arah memperkukuhkan keyakinan dan keimanan kepada Pencipta Yang Maha Agong.

" Ia (Allah s.w.t) lebih mengetahui akan kedaan kamu semenjak Ia mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak (yang sedang melalui pelbagai peringkat kejadian) dalam perut ibu kamu".
(Al-Najm. 53:32)


" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, menghidupkan kamu semula, bahawa Ia menciptakan kamu daripada tanah, kemudian (setelah sempurna peringkat-peringkat kejadian kamu) kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.
(Al-Rum. 30:20)

Manusia bukan sahaja diajukan pertanyaan agar memikirkan kejadian dirinya, malah setiap persoalan mengenai kejadian dirinya disertakan oleh Allah s.w.t jawapannya agar jelas kepada manusia mengenai kejadian dan proses penciptaannya.

"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui bahawa kami telah menciptakan dia daripada setitis air benih"
(Yaasin. 36:77)

"Maka hendaklah manusia memerhatikan dirinya dari apakah ia diciptakan? Ia dicipta daripada air (mani) yang memancut (ke dalam rahim)
(At-Tariq. 86:5-6

"Daripada apakah ia diciptakan (oleh Allah s.w.t.) dari air mani diciptakannya serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab.
(80:18-19)

Berdasarkan maklumat tersebut jelaslah bahawa Allah s.w.t. bukan sahaja mencipta manusia dengan ciptaan yang indah dan sempurna, malah merangsangkan minda dan menggesa manusia menggunakan segala potensi diri untuk mengkaji maklumat-maklumat yang berkaitan dengan penciptaan manusia. Pengamatan yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Quran dan hadith turut memberikan suatu gambaran tepat dan menyeluruh mengenai proses kejadian dan perkembangan manusia yang bermula daripada penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam a.s.

Kemu'jizatan Al-Quran sebagai sumber ilmu semakin nyata apabila kajian sains turut mengakui kebenaran maklumat berkaitan kejadian manusia. Hakikat ini sememangnya telah dimaklumkan oleh Allah bahawa setiap kejadian yang dilakukan atas dasar yang benar, kebenaran tetap akan diperlihatkan.

" Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.
(Fussilat. 41:53)

Justeru itu semakin tinggi tahap pencapaian keilmuan manusia dan semakin canggih peralatan yang digunakan untuk mengkaji sesuatu realiti kejadian dan perkembangan manusia, semakin hampir kajian tersebut kepada maklumat wahyu.Semakin mendalam kajian manusia semakin terungkap keindahan dan kesempurnaan ciptaan manusia serta tergambar kebesaran Allahs.w.t sebagai Pencipta. Atas dasar lengkap, tepat dan mutlaknya maklumat wahyu mengenai kejadian manusia, ainya perlu dijadikan panduan utama bagi manusia mengenali diri dan proses kejadiannya.

Wednesday, January 31, 2007

Pengenalan Remaja

Pengenalan Remaja

Remaja adalah suatu zaman peralihan dalam proses perkembangan manusia di antara baligh dan dewasa. Zaman remaja merupakan zaman transformasi ke arah perkembangan untuk mencapai alam dewasa. Perubahan-perubahan radikal dalam tempoh ini membuatkan kehidupan remaja penuh dengan kekacauan, keributan dan tekanan. Remaja merupakan satu peringkat menandakan akal baligh atau cukup umur dengan kedatangan haid bagi perempuan dan alat kelamin lazimnya mula mengeluarkan benih dan berakhir dengan penyempurnaan tumbesar tulang rangka. Melihat dari perspektif ini, remaja boleh didefinisikan sebagai satu peringkat perkembangan fizikal.
Kamus Dewan mendefinisikan remaja sebagai mulai dewasa, sudah akal baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Gadis remaja pula adalah satu tahap yang sudah mulai dewasa (mulai timbul rasa cinta berahi). Putera Remaja juga mempunyai pengertian yang sama dengan gadis remaja. Masa remaja dikanotasikan sebagai masa yang mulai timbul rasa cinta berahi. Menurut Brown (1965) semasa remajalah individu mula memahami tentang hal-hal yang abstrak dan dari segi perkembangan mereka telah berupaya untuk mencari beberapa pilihan untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi. Kandel Lesser (1972) Zaman remaja adalah satu zaman yang diukur dengan pelbagai perubahan biologi, akal baligh, seksualiti dan perkembangan hormon. Konopka (1973) mendefinisikan remaja sebagai satu segmen yang penting dalam proses perkembangan individu yang dibahagikan kepada tiga tahap iaitu remaja awal 12 -15 tahun, remaja pertengahan 15 -18 tahun dan remaja akhir 19 - 22 tahun. Secara umumnya remaja diklasifikasikan sebagai waktu akal baligh yang melibatkan kematangan seksualiti dengan kebolehan untuk melahirkan anak dan perubahan yang ketara dari aspek fizikal. Guy. R. Lefrancois (1993) remaja adalah masa transaksi antara alam kanak-kanak dan dewasa awal. Satu tahap dimana tercapainya kematangan dari sudut seksualiti tetapi tidak lagi berperanan dan dibebani dengan tanggungjawab sebagaimana orang dewasa.
Ciri-ciri yang ketara dan biasa dalam perkembangan remaja ialah perubahan bentuk badan, perkembangan yang cepat pada alat seks, perkembangan pengaliran hormon yang berkaitan dengan perkembangan alat seks dan perkembangan pada ciri-ciri seks sekunder. Perkembangan ini bukan sahaja dari segi perubahan bentuk badan tetapi juga adaptasi terhadap kebolehan intelek yang berubah, penyesuaian terhadap kehendak masyarakat mengenai tahap tingkahlaku dan persediaan ke arah peranan menjadi orang dewasa.
Walau bagaimanapun kematangan fizikal dan seksual adalah bahagian yang mustahak dalam peralihan remaja ke status dewasa dan ke arah memikul tanggungjawab . Perubahan yang cepat hendaklah dilihat bersama dengan perubahan-perubahan yang kurang ketara tetapi penting seperti kebolehan intelek dan ekspektasi ibu bapa dan masyarakat terhadap remaja yang menjadi dewasa. Remaja juga satu tahap perkembangan potensi kendiri di mana seseorang menentukan keindividuan dan identitinya dan harga diri kerana setiap remaja adalah individu yang unik. Kata-kata Oscar Wilde menjelaskan segalanya " Orang tua percaya semua perkara, orang dewasa mencurigai semua perkara dan remaja tahu semua perkara".